credit: barb uilAssalamualaikum. Harap kalian semua seceria mentari. Kali ini Sue ingin berkongsi artikel ‘bersalin melalui caesarean’…Bukan apa teringatkan seorang rakan guru yang sedang menunggu masa je nak bersalin. Sue selalu pegang perut dia…Hee saja nak rasa kot kot baby tu bergerak…Dan KakHafizam tu berdoa sangat agar kelahiran kali ini tidak perlu di bedah.
‘Seksa Sue caesarean…biarlah bersalin normal, lepas beberapa jam bersalin dah boleh buat kerjarumah , kalau caesarean..alamatnya nak batuk pon azab…’ Dan kemudian dia bercerita soal kelahiran dengan bersungguhnya hingga buat Sue naik ngeri…Saja nak buat aku takut la tu…
Teringatkan student yang petah bertanya dengan confidentnya kat Sue: ‘Teacher how many babies do you have?’ Err aku tergamam sekejap. Dia ingat aku dah already married agaknya. Dan seorang lagi student asked sakitke bersalin kat aku yang bujang trang tang tang nih…alahai anak anak murid ku yang comel, Teacher Sue masih single laa…
Filed under: Dunia Bayi
~bersalin melalui caesarean~
KADANGKALA anda tidak boleh melahirkan anak secara biasa dan terpaksa melalui pembedahan di abdomen dan seterusnya di rahim untuk melahirkan bayi yang dikandung.
Prosedur ini dipanggil pembedahan caesarean. Apa yang penting, anda sihat dan anak selamat.
Mengapa anda dibedah?
Ada ibu yang merayu supaya dibedah. Ini merupakan satu isu dan keputusannya sangat rumit dan memerlukan perbincangan serta pertimbangan terperinci.
Kalau demikian niat anda, berbincanglah dahulu dengan doktor anda.
“Biasanya, keputusan pembedahan dibuat setelah anda berada di bilik bersalin menjalani proses kelahiran tetapi gagal disebabkan oleh kepelbagaian faktor yang akan diterangkan oleh doktor pakar perbidanan.
“Ada juga ibu-ibu yang memang dijadualkan secara elektif untuk kelahiran melalui pembedahan disebabkan oleh faktor-faktor lampau,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.
Lain-lain faktor yang diambil kira termasuklah permasalahan perubatan semasa dan juga mungkin kerana wujudnya masalah-masalah obstetriks (perbidanan) yang menghalang kelahiran normal.
* Mengandung kembar/berganda - ramai ibu yang mengandung anak kembar dua melahirkan anak secara normal. Bagaimanapun, ada segelintir yang memerlukan pembedahan - bergantung bilangan janin dikandung.
Jika lebih ramai maka kebarangkalian untuk dibedah bertambah tinggi. Kedudukan janin turut mempengaruhi cara kelahiran.
* Proses kelahiran terbantut
Berjam-jam lamanya anda di bilik bersalin namun kemajuan pendilatan (pembesaran organ berongga) pangkal rahim tidak berlaku, walaupun ubat diberikan untuk menguatkan kontraksi (pengecutan) .
* Masalah pada janin dikandung
Bayi dikandung mungkin mengalami masalah di dalam rahim, bekalan oksigen tergendala, mungkin tali pusatnya terhimpit, terpulas dan sebagainya mengakibatkan bekalan darah dari uri ke bayi menurun.
Ini dikesan melalui pemerhatian elektronik ultrasound yang dipasang pada abdomen puan. Seterusnya, keputusan pembedahan dibuat.
* Masalah uri
“Uri mungkin berada di bawah (previa plasenta) yang menghalang bayi dari keluar. Satu lagi masalah, apabila uri terpisah dari dinding rahim dikenali sebagai placenta abruption.
“Pendarahan yang banyak berlaku, pengaliran darah serta oksigen kepada bayi terbantut, kematian boleh berlaku,” jelas Dr. Shah Reza.
* Sejarah kelahiran pembedahan lampau
Sekiranya anda sudah pun dua kali dibedah, kelahiran kali ini mestilah juga melalui pembedahan.
Seandainya sejarah hanya sekali sahaja, keputusan kali ini bergantung banyak pada kejadian semasa pembedahan lampau.
Contohnya, jika pemotongan pada rahim bukannya di segmen bawah secara melintang, bermakna anda tidak boleh di cuba untuk kelahiran melalui faraj.
* Kemungkinan lain seperti saiz bayi yang besar secara relatif dibandingkan dengan tulang pinggul, kedudukan bayi songsang dan infeksi pada ibu seperti herpes genitalia (inflamasi kulit pada alat kelamin) yang boleh memudaratkan bayi semasa proses kelahiran.
Prosedur pembedahan
Dr. Shah Reza berkata, kebiasaannya di hospital, bilik bedah merupakan satu kawasan larangan.
Suami tidak digalakkan atau mungkin tidak dibenarkan berada di bilik bedah di samping isteri semasa pembedahan dijalankan.
“Jenis pembiusan mungkin secara setempat (anda sedar sepanjang pembedahan), mungkin juga pembiusan menyeluruh (anda tidur sepanjang tatacara).
“Ini bergantung kepada penilaian doktor pakar bius. Kadangkala pembedahan dilakukan kerana kecemasan, jadi tidak sempat persediaan dilakukan seperti pembedahan-pembedah an elektif yang lain.
Persediaan
“Jururawat akan menyediakan anda bagi tujuan pembedahan, ubat diberikan untuk mengurangkan keasidan di dalam perut.
“Anda dikhuatiri akan muntah dan termasuk ke dalam sistem pernafasan yang boleh memudaratkan kesihatan selanjutnya, ” kata Dr. Shah Reza.
Bahagian untuk dibedah akan dicuci, bulu roma yang lebih akan dicukurkan. Tiub kateter akan dimasukkan ke dalam uretra (saluran air kencing) untuk mengosongkan pundi kencing.
Ia boleh mengurangkan insiden trauma pada pundi kencing semasa pembedahan. Ia juga sebagai pengawasan sistem perkumuhan buah pinggang.
Jarum dimasukkan ke sistem pembuluh vena di tangan untuk dimasukkan dengan cecair gantian seperti darah dan juga portal untuk ubat-ubat ke dalam badan anda, semasa dan selepas pembedahan.
Jenis-jenis pembiusan
Ia bertujuan menghilangkan kesakitan serta menenangkan anda semasa prosedur. Pembiusan, kata Dr. Shah Reza, mungkin secara menyeluruh dan juga berbentuk setempat seperti pembiusan epidural ataupun spinal, di mana anda akan sedar sepanjang prosedur.
“Doktor pakar bius akan berbincang dengan anda mengenai jenis-jenis pembiusan yang selamat untuk anda, bergantung sama ada pembedahan tersebut jenis kecemasan ataupun secara elektif. “Yang penting kesihatan puan semasa serta keadaan bayi diutamakan,’ ‘ kata beliau.
Kelahiran
Insisi dilakukan pada kulit dan tisu-tisu di abdomen.
“Lazimnya di Malaysia, insisi (torehan) di kulit dilakukan secara melintang. Otot-otot abdomen tidak dipotong.
“Insisi pada rahim juga secara melintang, ini mengurangkan pendarahan dan penyembuhannya bagus.”
Bayi akan dikeluarkan melalui insisi yang dibuat. Uri juga dikeluarkan melalui cara yang sama. Untuk kulit, jahitan dibuat, kadangkala stapel digunakan (mahal).
Komplikasi
Sebagaimana pembedahan yang lain, kelahiran melalui pembedahan juga berisiko. Bagaimanapun, risiko jarang berlaku dan ditangani dengan cepat serta berkesan.
Antara risiko-risikonya adalah:
* Infeksi boleh berlaku di rahim, tisu-tisu dalaman dan juga di kulit
* darah boleh hilang dengan pantas dan banyak, memerlukan transfusi (pemindahan) darah
* Insiden ketulan serta pembekuan darah berlaku di pelvis, paru-paru serta di bahagian kaki
* Usus dan pundi kencing juga boleh tercedera
* Reaksi pada ubat-ubat serta pembiusan yang diberikan.
Selepas pembedahan
Kata Dr. Shah Reza, sekiranya pembiusan diberikan dari jenis setempat, anda boleh memegang si bayi selepas pembedahan manakala pembiusan menyeluruh memerlukan masa untuk sedar.
Anda akan dihantar ke bilik pemulihan pembiusan, petanda seperti tekanan darah, nadi, kandungan oksigen dan lain-lain parameter akan dipantau rapat sehingga kesemuanya stabil, sebelum anda dihantar ke wad.
Penyusuan dada digalakkan walaupun baru dibedah. Lazimnya, ubat-ubatan yang diberikan adalah selamat untuk penyusuan dada.
Anda mungkin berada di wad selama tiga, empat hari. Pengawasan lanjut diteruskan walaupun sudah stabil.
Ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain diberikan agar anda selesa dan dapat bergerak seberapa segera.
Kembali ke rumah
Doktor akan membekalkan anda dengan ubat penahan sakit, antibiotik serta vitamin bagi membolehkan penyembuhan berjalan sempurna.
Walau bagaimanapun, anda perlu menjaga kesihatan diri, hadkan aktiviti berat.
Anda juga mungkin mengalami:
* Kekejangan pada bahagian bawah abdomen, terutamanya semasa memberikan susu badan
* Pendarahan dan juga lelehan untuk empat hingga enam minggu
* Pendarahan mungkin dalam bentuk ketulan dan kadangkala kekejangan berlaku semasa ketulan dikeluarkan
* Sakit di bahagian pembedahan.
“Untuk mengelakkan infeksi, jangan masukkan apa-apa cecair, tampon ataupun melakukan hubungan seks untuk beberapa minggu. Seorang suami yang baik seharusnya memahami keadaan isteri sekarang.
“Berikan badan anda masa untuk sembuh sebelum aktiviti-aktiviti lazim. Senaman ringkas yang tidak menyakitkan juga boleh dilakukan,” kata Dr. Shah Reza.
Segeralah berjumpa dengan doktor pakar perbidanan puan sekiranya demam berlaku, pendarahan semakin banyak, sakit yang tidak dapat dilegakan atau mana-mana pengalaman yang sebelum ini tidak pernah anda lalui.
Sumber: Utusan Malaysia
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan caesarean merupakan satu pembedahan yang melibatkan beberapa lapisan pada dinding perut wanita. Lapisan kulit, lapisan-lapisan otot dan dinding rahim dibuka bagi membolehkan bayi dilahirkan melalui pembedahan tersebut.
Pembedahan caesarean terbahagi kepada dua iaitu:
* IRISAN MELINTANG - atau lebih dikenali sebagai lower segment caesarean di mana irisan dinding rahim dilakukan pada bahagian bawah rahim.
* PEMBEDAHAN KLASIKAL - irisan dilakukan menegak pada rahim.
Bagaimanapun, irisan melintang merupakan pilihan hingga kini kerana ia dapat mengurangkan kadar pendarahan, di samping menurunkan risiko rahim pecah pada kandungan yang seterusnya.
Namun, pembedahan klasikal hanya diperlukan untuk kes-kes tertentu kerana ia meningkatkan risiko kehilangan darah, jangkitan kuman, rahim pecah pada kandungan yang seterusnya boleh menyebabkan kematian ibu dan anak.
Menurut Dr. Mohd. Hashim, sejak tahun 1960- an pembedahan caesarean meningkat kerana ia merupakan salah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak.
Pada masa yang sama, pembedahan ini semakin popular apabila timbulnya kesedaran berhubung perancang keluarga.
”Dengan penurunan kadar kelahiran, sesetengah golongan lebih menumpukan kesihatan bayi dalam kandungan,” katanya.
Tambahnya, dengan kaedah bius dan pembedahan ramai yang beranggapan bahawa pembedahan ini sesuatu yang selamat dan mudah walaupun tanpa satu alasan kurang jelas.
Namun, ramai yang beranggapan mereka yang pernah menjalani pembedahan ini perlu menjalani pembedahan yang sama untuk kelahiran seterusnya.
Sebenarnya, ia bergantung kepada keadaan ibu dan anak dalam kandungan, sekiranya tiada risiko yang berulang pesakit tidak perlu menjalani pembedahan caesarean.
Dr. Hashim memberitahu, biasanya doktor akan memaksimumkan menjalani hingga tiga kali pembedahan bagi mengelakkan risiko kecederaan pada organ berhampiran seperti pundi kencing, usus dan sebagainya.
Bagaimanapun, wanita yang pernah melahirkan anak secara caesarean sebelum ini dan bercadang untuk melahirkan anak secara biasa, dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan tetap di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan lengkap.
FAKTOR PEMBEDAHAN CAESAREAN
* Tali pusat keluar dahulu semasa air ketuban pecah.
Tali pusat ini akan turun perlahan-lahan ke dalam saluran faraj, keadaan menurunkan beka oksigen pada bayi menyebabkan bayi bernafas dalam peranakan.
Keadaan ini boleh menyebabkan kematian bayi dalam kandungan, justeru pembedahan kecemasan caesarean diperlukan.
* Uri di bawah (placenta praevia).
Uri berada di bawah daripada bahagian bayi pada pembukaan rahim. Sekiranya proses kelahiran biasa berlaku, pendarahan yang banyak akan membahayakan keselamatan ibu serta anak.
* Tulang punggung dan saiz kepala bayi tidak sepadan (dispropotion).
Keadaan ini akan mengakibatkan proses kelahiran mengambil masa agak lama tanpa banyak tanda-tanda ia akan berjaya jika kelahiran biasa berlaku.
(ini selalunya jadi kat perempuan yang bersaiz kecil kan…Kurus kecil macam Sue. Teringatkan kata kata seorang sahabat, 'Ko jangan kawen ngan orang besar nanti takut baby tu rangka besar macam ayah dia….Susah ko nanti’ Hehe macam macam...
* Terdapat tanda-tanda bayi dalam kandungan lemas dan tidak aktif semasa proses bersalin.
Pertumbuhan atau perkembangan bayi yang terencat atau kadar denyutan jantung bayi yang menurun.
Kedudukan anak yang tidak betul seperti melintang atau condong (oblique) atau berlaku kelainan presentasi anak seperti muka, tangan atau kaki semasa pembukaan rahim.
Status kesihatan ibu seperti hipertensi, diabetes atau sakit jantung.
RISIKO PADA BAYI YANG DILAHIRKAN
Bayi yang dilahirkan melalui pembedahan ini terutama sebelum ibu merasai sakit bersalin, mengalami masalah pernafasan lebih tinggi berbanding kelahiran biasa.
Keadaan ini ada kaitannya dengan kesilapan dalam kiraan jangkamasa kandungan.
Justeru, bayi ini dianggap prematur di mana keadaan ini akan mendedahkan bayi tersebut kepada jangkitan kuman di paru-paru, masalah penyusuan dan lain-lain lagi yang memerlukan rawatan di hospital dalam jangka masa panjang.
KESAN PSIKOLOGI PADA IBU
Pembedahan ini boleh menyebabkan beban psikologi dan fizikal yang lebih tinggi berbanding kelahiran biasa. Ini kerana keadaan fizikal selepas pembedahan menyukarkan keinginan ibu terbabit untuk bersama anak yang dilahirkan.
Secara tidak langsung, ia boleh menimbulkan rasa marah, hampa dan tertekan kepada ibu.
Namun, sokongan ahli keluarga dapat membantu mengurangkan bebanan psikologi ini.
KES-KES YANG MEMERLUKAN PEMBEDAHAN CAESAREAN
Bagi kes-kes tertentu, pembedahan caesarean merupakan pilihan terbaik yang dapat menyelamatkan nyawa ibu dan anak dalam kandungan seperti:
* Uri di bawah
* Pendarahan yang banyak pada peringkat akhir kehamilan.
* Kelahiran tersumbat
* Rahim pecah
* Bayi dalam kandungan terlalu besar
* Jangkitan kuman herpes pada kemaluan yang akan menjangkiti bayi sekiranya ia dilahirkan secara biasa
* Tali pusat terkeluar dahulu (cord prolapse)
Bayi kecil itu mampu memberi segaris rasa damai di dada, membasuh duka pada lara dengan hanya senyumannya yang menggetar jiwa...
-salam sayang, Sue-